Sunday, May 8, 2011

semai


Suku Kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Bancian pada tahun 1993, menunjukkan jumlah mereka telah meningkat lebih daripada 42,000 orang dan merupakan suku kaum Orang Asli yang terbesar jumlahnya. Mereka hidup bermasyarakat.Sebuah kampung biasanya terdapat diantara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu atau “Batin” yang di lantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.

pemilihan batin.

Dahulu seorang ketua dipilih daripada orang yang sangat berpengaruh, mengetahui adat resam masyarakat dan berilmu seperti pawang. Biasanya ia disandang hingga turun-temurun. Walau bagaimanapun keadaan berubah mengikut peredaran masa. Beberapa faktor tambahan telah diambilkira sebelum perlantikan dilaksanakan, di antaranya ialah:

* Mempunyai ilmu kebatinan
* Berkebolehan berinteraksi dengan masyarakat luar
* Bertanggungjawab
* Aktif
* Bersikap prihatin
* Penyabar
* Pengesahan oleh kerajaan

Penghulu/Batin bertanggungjawab dalam menentukan sistem adat, mentadbir kampung dari segi pembangunan dan keselamatan. Beliau juga bertanggungjawab ke atas perhubungan dengan masyarakat luar dan agensi kerajaan

semai mencari jodoh

Pada masa dahulu jarak di antara satu perkampungan dengan satu perkampungan sangat jauh. Perjalanannya memakan masa di antara 4 hingga 6 hari berjalan kaki.

Seorang teruna yang ingin mencari jodoh akan merantau ke tempat lain. Setelah bertemu gadis idaman hati yang sesuai untuk dijadikan teman hidup, maka ia pun akan bermalam di situ setelah mendapat persetujuan orang tua gadis tersebut. Biasanya kehadiran pemuda itu amat difahami oleh ketua keluarga tersebut.
Apabila senja menjelang, si bapa akan menyuruh anak gadisnya membentang tikar di tempat tidurnya. Kemudian teruna tersebut akan dipelawa oleh bapa gadis tadi untuk memilih tempat tidur yang disukainya.
Sekiranya si teruna berkenaan dan bersetuju untuk menjadikan gadis tersebut sebagai teman hidupnya, maka beliau akan terus memilih tempat yang disediakan oleh gadis tersebut. Pada masa itu juga mereka akan tidur bersama dan disahkan sebagai suami isteri.
Jika si teruna tidak bersetuju dengan gadis berkenaan ia akan memilih tempat tidur yang jauh di satu ruang yang berasingan dari tempat yang telah disediakan oleh gadis berkenaan. Walau bagaimanapun si teruna akan memberi alasan-alasan yang munasabah agar tidak menimbulkan salah faham di pihak gadis.
Sekiranya ia mempunyai anak gadis lebih dari seorang, seperti biasa apabila senja menjelma, si bapa akan menyuruh anak-anaknya menyediakan dan membentangkan tikar tempat tidur mereka masing-masing. Kemudian ia akan menjemput teruna tersebut memilih tempat tidur. Sekiranya pemuda tersebut berkenaan kepada salah seorang anak gadis itu, ia akan memilih tempat tidur gadis pilihannya. Kalau kesemuanya tidak sesuai, pemuda berkenaan akan tidur di ruang tamu.

kretaria suami semai

-Rajin dan kuat bekerja seperti menebang pokok dan membuka ladang buka.
-Pandai membina rumah untuk diri sendiri dan kedua-dua ibubapa.
-Rajin dan pandai membuat jerat binatang dan menangkap ikan dengan bubu dan sebagainya.
-Murah rezeki apabila berburu atau menangkap ikan, (beryas, bersenglug).
-Pandai menganyam nyiru dan juga pandai membuat “perdah” (mengikat rotan dan payu beliung).
-Mempunyai ilmu, jika tidak menjadi bomoh pun tetapi boleh menjampi, dan mengasap kemenyan anak sendiri apabila demam.
-Mempunyai tingkah laku yang baik.

kretaria isteri semai

Rajin ke ladang menggali ubi dan mengutip sayuran.
* Rajin mengambil air dan mencari kayu api.
* Rajin memasak nasi atau ubi kayu dan lain-lain.
* Pandai menganyam tikar.
* Menjamu tetamu yang singgah sementara.
* Mengagih-agihkan makanan yang diperolehi suami kepada mentua.
* Pandai menampi padi
* Pandai menjaga suami dan mengasuh anak-anak.

Kematian orang semai

Apabila terdapat kematian di sesebuah kampung, biasanya sanak saudara jauh dan dekat akan diberitahu. Penduduk tempatan akan menziarahi dan membantu upacara pengkebumian. Ahli masyarakat akan menangguhkan semua kegiatan harian mereka kerana dikhuatiri roh simati akan marah atau menegurnya dan akibatnya orang yang terlibat akan ditimpa malang. Kebiasaannya mayat tidak kebumikan pada hari kematian dengan itu tujuan memberi peluang kepada saudara mara simati yang jauh datang memberi penghormatan terakhir.

Pada malam tersebut penduduk kampung akan berjaga di rumah simati sehingga pagi untuk mengelakkan mayat tersebut daripada diganggu oleh hantu atau dilangkah oleh kucing kerana dipercayai boleh menyebabkan mayat tersebut bangun dan mengacau. Api akan dinyalakan di sekeliling rumah untuk mengelak atau menghalau hantu yang menyebabkan kematian itu. Kanak-kanak akan ditangkalkan dengan menconteng arang di kedua-dua belah kening atau kedua-dua belah tapak kaki dan juga pada daun-daun yang dipercayai ditakuti oleh hantu.

Sebelum upacara pengkebumian, mayat tersebut akan dimandikan dan dibungkus dengan kain baru atau kain putih dan seterusnya dibungkus dengan tikar, diikat kemas-kemas supaya senang diusung. Liang lahad digali sedalam 1 meter. Mayat dimasukkan ke dalam liang lahad. Sebelum di kambus, tiga kepal tanah bercampur arang yang telah dijampi akan diletakkan di kedua-dua belah telinga dan bahagian dada untuk memutuskan hubungan si mati dengan keluarganya. Jika tidak, keluarga yang hidup akan jatuh sakit dan boleh membawa mati.

Setelah dikambus, kayu yang diukir (ala kadar) dicacak di atas kubur sebagai penanda dan diikuti dengan upacara meletakkan makanan, minuman dan rokok yang telah dinyalakan diatas kubur selama enam hari berturut-turut.

Pada hari keenam, kayu yang telah dibakar akan dialih untuk memberitahu simati bahawa dia sudah berada di alam lain. Upacara ini dilakukan dalam rumah simati. Setelah masuk hari ketujuh, keluarga serta penduduk kampung akan bergotong-royong menambak atau memadatkan tanah kubur tersebut agar tidak jerlus. Penanda sementara tadi diganti dengan batu nisan yang kekal. Sebelum meninggalkan kubur, makanan, minuman dan rokok akan dilekatkan diatas kubur berkenaan. Salah seorang ahli keluarganya akan memegang batu nisan serta memanggil nama simati seolah-olah menggerakkannya untuk menjamu makanan dan minuman, di samping berpesan bahawa perjalanannya ke alam lain adalah selamat dan memohon supaya tidak mengganggu ahli keluarga yang masih hidup.

kehidupan harian orang semai dahulu kala.

Pada suatu ketika dahulu kehidupan Kaum Semai sama seperti Orang Asli yang lain di Negara ini iaitu hidup secara nomad. Mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang ataupun berpindah atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit hawar. Secara tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 10 hingga 50 kelamin.

Ketua keluarga atau orang tua dalam keluarga tersebut bangun lebih awal untuk menghidupkan api bagi memanaskan badan dan memasak makanan seperti merebus ubi kayu untuk bekalan ke ladang, ke rumah menuju ke destinasi masing-masing.

Mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai jenis sayur-sayuran seperti labu, kacang panjang, timun, kacang bendi adalah hasil tanaman mereka. Kaum Semai mengamalkan sistem bertukar-tukar makanan, perkhidmatan dan keperluan lain secara berkongsi. Tidak ada urusan jual beli dilakukan. Sistem ekonomi cara ini akan mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di samping mewujudkan kemesraaan di kalangan mereka.

Memburu dan menangkap ikan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan kaum ini. Aktiviti memburu biasa dilakukan oleh lelaki sahaja. Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara jenis-jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain. Ikan adalah sumber utama protein. Ia ditangkap dengan menggunakan lukah, kail, racun akar tuba, serampang, jaring, tuar dan juga dengan tangan. Pekerjaan ini dilakukan oleh kaum lelaki dan perempuan. Hasil seperti rotan, damar, buluh, cendana dan gaharu akan dijual. Mereka pulang pada waktu tengahari atau petang.

Pada waktu petang sebelum senja, mereka berehat di rumah duduk berbual-bual tentang ladang, member dan sebagainya.Setengahnya membuat damak, mencuci buluh sumpit atau membuat persediaan peralatan untuk esok harinya. Walau bagaimanpun keadaan ini mungkin telah berubah mengikut peredaran masa. Kini ramai Kaum Semai yang lemah bekerja dengan kerajaan, swasta dan berniaga seperti di kedai runcit dan kraftangan.